Friday, 21 November 2014

Hari Kecemerlangan Sekolah 2014


 Assalamualaikumwarahmatullahiwabaraktuh.

Semoga kalian semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Kekangan masa membuatkan saya jarang-jarang dapat mengemaskini blog sekolah ini walhal banyak program yang telah dijalankan sepanjang tahun 2014 ini. Sebenarnya saya pun masih belajar lagi cara untuk membuat blog ini. 

Baiklah, kali ini saya kongsikan kenangan sekitar Hari Kecemerlangan peringkat sekolah bagi tahun 2014 yang telah berlangsung di Dewan SRI Al-Ain. Alhamdulillah, hari yang cukup istimewa bagi para murid yang telah menunjukkan kesungguhan serta prestasi yang cemerlang sepanjang tahun 2014. Tahniah adik-adik! 


Kejayaan anak-anak pasti membuatkan para guru dan ibu bapa terutamanya merasa cukup gembira. Tapi bagi saya, selain kejayaan akademik, sudah tentu lebih seronok jika anak-anak kita dapat menguasai ilmu agama dengan baik juga. Kalau boleh mengaji dengan baik dan tahu hukum hakam pun kira bersyukur juga. Bukan semua anak-anak dilahirkan bijak pandai, namun dengan usaha ibu bapa, bantuan para guru selain kesungguhan anak-anak itu sendiri, tiada yang mustahil. Kuasa doa juga amat memainkan peranan disini. Dan jangan sesekali lupa solat! Wajib tu adik-adik melainkan uzur.


Seronok rasanya menyaksikan persembahan menarik yang telah disajikan buat para ibubapa oleh anak-anak murid SRI Al-Ain. Tahniah dan terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga yang telah menghantar anak-anak mereka untuk menimba ilmu agama di sekolah ini. Ibu bapa pasti mencari yang terbaik, melabur untuk masa depan anak-anak, jadi sebagai anak, pastilah kena belajar dengan tekun. Semasa Hari Kecemerlangan itu juga, ustazah dapat lihat ada ibu berpakaian seragam polis lagi hadir, rasanya pasti ibu murid tersebut ambil waktu rehat seketika untuk sama-sama meraikan kejayaan anaknya! Syabas. 

Sampai disini sahaja. Tingkatkan prestasi diri, dekatkan diri dengan Illahi, jauhi perkara sia-sia. InshaAllah target kita SyurgaNYA. Jumpa lagi di tahun 2015. Sekian. Assalamualaikum. 

Monday, 19 May 2014

Kembara Ilmu di Kidzania


Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.

Program 'Lawatan Sambil Belajar' merupakan salah satu program yang pasti tersenarai dalam takwim sekolah setiap tahun. Untuk edisi 2014, pihak pengurusan sekolah telah sebulat suara memilih Kidzania yang terletak di Mutiara Damansara, Selangor sebagai destinasi untuk kesemua murid tahap 2 mengadakan lawatan sambil belajar. 


Tanggal 15 Mei 2014, seramai 40 orang murid tahap 2 dan 5 orang kakitangan sekolah telahpun bersama-sama bergembira serta merasai pengalaman yang baharu di Kidzania. Rombongan menaiki bas tiba seawal jam 9.30 pagi di sana. Keseluruhannya, Kidzania menawarkan banyak peluang untuk murid-murid untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai dunia pekerjaan di luar sana. Terhibur melihat aksi dan kesungguhan anak murid menjadi bomba, chef, posmen dan bermacam lagi. 


Bagi pihak guru-guru, kami amat menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak mereka ke tempat sebegini sekurang-kurangnya satu kali dalam setahun. Anak-anak akan berpeluang menjadi seperti seorang dewasa selain dapat memahami lebih lagi skop tugas sesuatu pekerjaan itu. Cukup menyeronokkan dan bermanfaat! 


Okay, kita jumpa lagi dalam entri akan datang. Jangan lupa solat ye adik-adik.